Remaja Disiasat Jual Gambar Lucah, 29 Laporan Polis Diterima

KUALA LUMPUR: Polis menerima sebanyak 29 laporan berhubung kes seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang disyaki menyunting dan menjual gambar lucah palsu melibatkan pelajar dan bekas pelajar sebuah sekolah menengah di Kulai.

Menurut Polis Johor, remaja terbabit dipercayai menggunakan teknologi “deepfake” untuk menghasilkan imej tidak senonoh tersebut sebelum menyebarkannya di media sosial bagi tujuan jualan.

“Setakat ini siasatan masih berjalan kerana ia melibatkan banyak kes. Tiada makluman pendakwaan terhadap suspek buat masa ini dan tahanan reman ke atas remaja berkenaan dijangka tamat esok,” menurut kenyataan polis.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar sebelum ini mengesahkan tangkapan terhadap suspek yang disyaki menjadi dalang penyebaran gambar lucah itu.

Difahamkan, lebih 40 individu telah menjadi mangsa, termasuk pelajar perempuan yang masih bersekolah.

Kegiatan ini terbongkar selepas seorang alumni sekolah terbabit membuat pendedahan kepada Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Ia disusuli laporan daripada seorang ahli keluarga mangsa lain.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin menegaskan bahawa pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan terus memantau penyalahgunaan teknologi di sekolah, terutama yang melibatkan unsur lucah.

“Kita tidak mahu pelajar menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk tujuan yang memudaratkan. Ini sisi gelap AI yang merisaukan kami,” katanya pada Majlis Jamuan Aidilfitri Kelab Media Johor malam tadi.

Beliau turut menggesa ibu bapa agar memainkan peranan lebih aktif dalam memantau anak-anak ketika menggunakan telefon pintar di luar waktu persekolahan.

“Kita hanya mampu pantau ketika mereka berada di sekolah. Oleh itu, ibu bapa perlu bantu pastikan anak tidak terlibat dengan perkara negatif seperti ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles