KUALA LUMPUR: Akses ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 akan ditutup sementara melibatkan balai berlepas, balai ketibaan dan kawasan tempat letak kereta berikutan lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan bahawa sepanjang tempoh penutupan, Terminal 2 hanya boleh diakses melalui perkhidmatan KLIA Transit dari Terminal 1.
“Penumpang yang tiba di Terminal 2 perlu menaiki KLIA Transit ke Terminal 1 untuk perjalanan seterusnya,” menurut kenyataan itu.
Penutupan jalan sepenuhnya dijadualkan berlaku pada dua waktu utama: Isnin, 15 April dari jam 6 petang hingga 7 petang, dan Khamis, 17 April dari jam 8:50 pagi hingga 9:50 pagi.
Antara laluan yang terlibat dalam penutupan sementara ini termasuk:
• Lebuh KLIA
• Lebuhraya ELITE
• Lingkaran Putrajaya
• Lebuh Putrajaya-Dengkil
• Persiaran Selatan
• Lebuh Gemilang
• Jalan P5
Sebagai langkah alternatif, penumpang yang terpaksa memandu dinasihatkan menggunakan laluan dari Lebuhraya ELITE (E6) – keluar di Tol Serenia – Kota Warisan – Bulatan Masjid – Jalan KLIA 1 – Bulatan Charterfield – ke Terminal 1 KLIA.
MAHB turut menyarankan orang ramai menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres dari KL Sentral ke Terminal 1 dan 2, atau KLIA Transit dari stesen-stesen terdekat seperti Bandar Tasik Selatan, Putrajaya & Cyberjaya serta Salak Tinggi.
“Para penumpang digalakkan merancang perjalanan mereka ke atau dari lapangan terbang di luar waktu penutupan jalan bagi mengelakkan kelewatan,” tambah kenyataan itu.