KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Malaysia berusia 62 tahun yang ditahan pihak berkuasa Thailand kerana disyaki terlibat dalam rompakan sebuah kedai emas di Hat Yai pada Rabu lalu memiliki 10 rekod jenayah lampau termasuk dua kes bunuh di Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan bahawa suspek turut dikehendaki atas satu lagi kes di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969, dan kini sedang ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di lokap Hatyai untuk siasatan lanjut.
“Penahanan lelaki itu telah dimaklumkan kepada kita sejurus selepas dia ditahan di Bangkok atas kesalahan samun bersenjata. Kertas siasatan di Malaysia sedang disemak bagi membolehkan tindakan ekstradisi dilakukan,” katanya kepada Bernama.
Tambahnya lagi, siasatan berhubung kesalahan suspek di Thailand akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa negara itu.
Semakan lanjut oleh pihak berkuasa mendapati lelaki terbabit tidak lagi menetap di Malaysia dan dipercayai telah menggunakan dokumen palsu untuk bersembunyi di Thailand.
Ketika ditahan, dia didapati memiliki kad pengenalan Thailand yang disyaki palsu dan tidak mempunyai MyKad atau pasport Malaysia.
Pada 9 April lalu, polis Thailand mengesahkan penahanan seorang lelaki warga emas di daerah Nonthaburi, Bangkok, yang disyaki terbabit dalam rompakan kedai emas di Hat Yai dengan nilai kerugian dianggarkan sekitar 9 juta baht (RM1.17 juta).