Tikam Bekas Suami Dengan Gunting: Wanita Dipenjara 20 Tahun

KUALA LUMPUT: Mahkamah Tinggi Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas seorang wanita kerana menyebabkan kematian bekas suaminya di sebuah ladang kelapa sawit dua tahun lalu.

Nurima Juli, 35, disabitkan bersalah atas tuduhan alternatif menyebabkan kematian Nurman Bakaratu, 61, pemandu e-panggilan yang juga bekas suaminya, selepas mengaku menikam lelaki itu dengan gunting dalam kejadian pada malam 13 Januari 2023.

Hakim Lim Hock Leng berkata, hukuman dijatuhkan selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh sebelum perbicaraan bermula, namun menegaskan bahawa wanita itu tidak menunjukkan rasa kesal sepanjang prosiding.

“Walaupun pesalah kali pertama, tertuduh tidak menunjukkan penyesalan sebaliknya cuba mempertahankan tindakannya. Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dan fakta kes,” katanya.

Kejadian yang berlaku di kawasan ladang berhampiran Batu 5, Jalan Apas itu sebelum ini turut mengaitkan beberapa individu lain, termasuk bekas ketua staf perisikan Esscom, Mat Zaki Md Zain dan tujuh yang lain.

Kesemua mereka dibebaskan tahun lalu selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan berikutan pengakuan mengejut Nurima bahawa dialah yang menikam mangsa.

Nurima didakwa bersama adik tirinya, Sadam Kiram, 30, namun mahkamah membebaskan Sadam selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hukuman penjara Nurima akan bermula dari tarikh sabitan, iaitu 26 April 2024.

BBerkaitan

Latest articles