Bukan Saja MB T’ganu, Saya Dan VIP Lain Pun Ada TCO – Anwar

KUALA LUMPUR: Kesemua orang kenamaan di negara ini diletakkan di bawah status ‘Travel Control Office/Order’ (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini berhubung status TCO yang dikenakan terhadapnya.

“Saya pun ada, semua VIP pun ada,” katanya selepas menghadiri program ‘Meet Anwar@IIUM: A Special Homecoming di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah UIA, Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.

Terdahulu Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS mendakwa situasi itu sudah berlaku sejak pertengahan tahun lalu.

Beliau mendakwa status berkenaan merujuk kepada satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.

Menerusi status itu, segala pergerakan, komunikasi dan interaksi seseorang dipantau secara menyeluruh, senyap, dan berterusan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada pagi ini turut menolak dakwaan Ahmad Samsuri dengan berkata kerajaan tiada keperluan untuk mengintip pergerakan beliau.

Apatah lagi Ahmad Samsuri sentiasa didampingi anggota polis.

Saifuddin berkata, semua VVIP di negara ini berada di bawah pengawasan atas alasan keselamatan, tetapi hanya Samsuri yang memilih untuk mempertikaikannya.

BBerkaitan

Latest articles