Disyaki Merompak RM1.9 Juta Barang Kemas, Polis Thailand Tahan Warga Emas Malaysia

KUALA LUMPUR: Polis Thailand hari ini menahan seorang lelaki warga emas, dipercayai rakyat Malaysia, yang disyaki terlibat rompakan sebuah kedai emas di Plaza Hat Yai.

Pemangku Ketua Polis Siasatan Bahagian Ke-6, Anusorn Thongsai, mendedahkan bahawa suspek berusia 61 tahun itu cuba menyamar dengan menggunakan pelbagai identiti sepanjang berada di Thailand bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menurut keterangan pihak polis, suspek tersebut dilaporkan menaiki motosikal untuk merompak kedai emas di Hat Yai sekitar jam 11.50 pagi semalam.

Menggunakan pistol, dia berjaya melarikan emas bernilai lebih kurang 9 juta baht (RM1.17 juta).

Berikutan kejadian itu, polis Thailand mengeluarkan waran tangkap dan memperketat kawalan di pintu keluar sempadan untuk menghalang suspek melarikan diri.

Polis menjelaskan selepas berjaya melakukam rompakan, suspek dipercayai melarikan diri ke Bangkok.

Keterangan awal mendapati dia menaiki bas dari Hat Yai ke Stesen Bas Mochit di Bangkok sebelum meneruskan perjalanan menaiki teksi menuju ke rumah anaknya di Nonthaburi.

Anggota polis berjaya menahan suspek kira-kira jam 6.30 petang waktu tempatan ketika dalam perjalanan ke destinasi tersebut, lengkap dengan barang bukti berupa emas, sepucuk pistol dan beberapa butir peluru hidup.

Suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan dijangka akan dikenakan tindakan undang-undang di Thailand.

BBerkaitan

Latest articles