Tindakan Agresif Juruterbang Pemasangan Komponen Tidak Disahkan – Punca Utama Nahas Pesawat Di Kapar

KUALA LUMPUR: Laporan akhir Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) Kementerian Pengangkutan (MOT) mendedahkan bahawa juruterbang pesawat Blackshape Gabriél BK 160TR melakukan gerakan penerbangan agresif yang melebihi had kemampuan pesawat.

Tindakan tersebut menyebabkan tekanan berlebihan kepada struktur, seterusnya mengakibatkan pemisahan bahagian semasa penerbangan.

Menurut laporan setebal 204 muka surat itu, kekuatan struktur pesawat tergugat akibat operasi berulang di luar julat kelajuan dan beban yang telah diluluskan.

“Kegagalan dan pemisahan bahagian struktur ketika penerbangan akibat tekanan operasi berlebihan pada bahan komposit pesawat yang lemah telah dikenal pasti sebagai punca utama nahas,” demikian kenyataan dalam laporan tersebut.

Pada 13 Februari tahun lalu, pesawat yang dikendalikan oleh Aviation Safety Technology Pte Ltd, Singapura itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, menuju ke kawasan barat Kapar untuk penerbangan riadah.

Menurut laporan, sekitar jam 1.36 tengah hari, pesawat terhempas di ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar.

Kesan hentaman menyebabkan pesawat musnah, manakala kedua-dua juruterbang dan pembantu terkorban dalam insiden itu.

Laporan akhir turut mendapati beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada kegagalan pesawat, antaranya:
• Gerakan Penerbangan Agresif:
Pesawat mengalami beban berlebihan akibat operasi yang melebihi had kelajuan udara maksimum, faktor beban serta had struktur yang dipaksa menanggung tekanan tidak wajar.

• Pemasangan Komponen Tidak Disahkan:
Pemasangan tie-down rings yang tidak diperakui turut melemahkan kekukuhan struktur pesawat.

Aktiviti penyelenggaraan yang tidak diluluskan, termasuk penggunaan alat ganti yang tidak disahkan oleh kakitangan yang tidak berkelayakan, menjadikan pesawat lebih terdedah kepada kegagalan semasa penerbangan.

• Prestasi dan Pengawasan Operasi:
Beberapa isu organisasi dan pengawasan operasi turut dikesan.

Di samping itu, kepekatan alkohol dalam darah (BAC) juruterbang didapati mencapai 0.032 peratus, melebihi had undang-undang sebanyak 0.02 peratus, yang mungkin menjejaskan prestasi semasa penerbangan.

Dalam laporannya, MOT menekankan keperluan untuk meneliti semula operasi penerbangan tidak berjadual, khususnya yang melibatkan pesawat berdaftar di luar negara serta kru pesawat berlesen asing.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga telah mengesyorkan pelaksanaan langkah dipertingkat bagi mengawal selia operasi penerbangan tersebut untuk mengelakkan berulangnya insiden seperti ini.

BBerkaitan

Latest articles