KUALA LUMPUR: Seorang bekas penolong pentadbir kewangan Jabatan Kebajikan Sarawak dijatuhi hukuman penjara berjumlah 468 tahun dan denda RM180 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuching hari ini selepas mengaku bersalah atas 39 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan lebih RM16 juta.
Tertuduh, Mohd Zairull Arzuan Mohd Shamsuddin Ja’afar @ Ang Chui Thong, 38, turut dikenakan tiga sebatan dan bakal berdepan penjara tambahan selama tiga tahun sekiranya gagal membayar denda.
Walaupun hukuman penjara dijalankan secara serentak, Mohd Zairull tetap perlu menjalani sekurang-kurangnya 12 tahun di penjara, dengan tambahan tiga tahun jika gagal membayar denda.
Kesalahan yang dilakukan antara tahun 2019 hingga 2022 melibatkan manipulasi sistem gaji, di mana beliau sebagai pegawai bertanggungjawab ke atas simulasi gaji mengambil kesempatan mengambil dana kerajaan untuk kepentingan peribadi.
Antara 2020 hingga 2022, sebanyak RM6 juta terlibat dalam kes pengubahan wang haram, manakala dari 2019 hingga 2021, lebih RM10 juta diseleweng melalui CBT.
Malah penyata gaji tertuduh menunjukkan kemasukan lebih RM4 juta ke dalam akaun peribadinya.
Tertuduh dikatakan telah meletakkan jawatan secara mengejut, memendekkan notis daripada 31 Januari 2022 kepada 31 Disember 2021, dipercayai selepas menyedari salah lakunya mula dihidu pihak atasan.
Hakim Musli Ab Hamid menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM5 juta bagi setiap 36 pertuduhan pengubahan wang haram, dan 12 tahun penjara serta satu sebatan bagi setiap tiga pertuduhan CBT.
Kes dikendalikan oleh barisan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Amanina Wan Din, Mohd Ashrof Kamarul dan Manjira Vasudevan, manakala tertuduh diwakili peguam Christopher Bada.