KUALA LUMPUR: Perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang sebelum ini tergendala akibat insiden pemotongan kabel, kini kembali beroperasi seperti biasa mulai jam 4 petang tadi.
Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), pengendali perkhidmatan rel berkelajuan tinggi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dalam satu kenyataan berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang memotong kabel penting sistem rel.
Maklumat terkini mengenai pemulihan perkhidmatan telah dikongsikan di semua platform media sosial rasmi ERL termasuk di X (@KLIAekspres), Facebook dan Instagram.
Sebagai tindak balas segera, ERL telah melaksanakan pelbagai langkah keselamatan tambahan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti sebagai kawasan ‘hotspot’, termasuk penempatan kakitangan tambahan, peningkatan rondaan serta pengawasan lebih ketat ke atas infrastruktur kritikal.
“ERL komited terhadap keselamatan dan kesejahteraan penumpang kami dan amat menyesal atas ketidakselesaan yang disebabkan oleh keadaan yang tidak dijangka ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, ERL turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian dan memperkenalkan langkah pencegahan jangka panjang.
Insiden ini menimbulkan persoalan lebih besar mengenai tahap keselamatan infrastruktur awam negara, khususnya sistem rel yang menjadi nadi utama perhubungan harian dan pelancongan.
Pakar keselamatan menggesa pihak berkaitan supaya mempercepat pelaksanaan teknologi pemantauan masa nyata seperti sistem kamera pintar dan sensor gerakan untuk mencegah cubaan sabotaj yang boleh menjejaskan ribuan pengguna.