KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang remaja 18 tahun selepas didakwa meliwat seorang pelajar di pusat pendidikan swasta di Ampang, tahun lalu.
Kejadian itu didedahkan rakan kepada mangsa selepas menceritakan kejadian berkenaan kepada ibunya yang kemudian bertindak memberitahu bapa mangsa.
Dipercayai suspek merupakan anak kakitangan pusat pendidikan swasta berkenaan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Siti Kamsiah Hassan berkata pihaknya menerima laporan bapa mangsa berusia 39 tahun Ahad lalu.
Menurutnya pengadu memaklumkan kejadian berlaku April tahun lalu dan mendakwa anaknya yang ketika itu berusia 14 tahun diliwat anak seorang kakitangan pusat pendidikan swasta dalam bilik air.
“Sebelum itu, pada hari sama ketika berada dalam bilik asrama, suspek didakwa memeluk mangsa dan mengambil tangan kiri mangsa lalu masukkan ke dalam seluar suspek untuk melakukan perkara tidak senonoh,” katanya memetik Berita Harian.
Beliau berkata mangsa yang kini trauma hanya menceritakan kejadian itu kepada rakannya dan bukan bapanya kerana takut dimarahi.
Katanya, suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.