Tarif AS: Malaysia Ambil Pendekatan Menyesuaikan Diri

KUALA LUMPUR: Di saat negara-negara dunia gusar dengan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang kembali menguatkuasakan dasar perlindungan ekonomi menerusi “tarif tambal balik”, Malaysia tampil dengan pendekatan yang lebih bijak dan tenang dengan menggerakkan diplomasi senyap, bukan megafon.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia akan terus memainkan peranan secara diplomatik dan berhemah dalam memastikan kepentingan ekonomi negara tidak tergugat.

“Kami tidak percaya pada diplomasi megafon. Sebaliknya, sebagai sebuah negara berdaulat dan berwibawa, kita akan menghantar pegawai ke Washington untuk memulakan dialog dan merundingkan penyelarasan dasar secara matang,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pelaburan ASEAN (AIC) 2025 di sini hari ini.

Beliau menyifatkan tindakan Trump sebagai “tarif terhadap seluruh dunia” yang kini memberi tekanan besar terhadap sistem perdagangan global.

Namun begitu, Malaysia kekal tenang dan memilih untuk menyesuaikan strategi, bukan panik atau bertindak balas secara melulu.

“Angin mungkin beralih, tetapi kita tidak hanyut,” ujar Anwar sambil menekankan bahawa dasar kepelbagaian pasaran perdagangan Malaysia semakin kukuh dan akan terus diperkasa melibatkan negara-negara di Eropah, Asia, Timur Tengah dan Afrika.

Menurut beliau, hubungan dagang Malaysia-AS selama ini telah membawa manfaat dua hala – dengan eksport Malaysia bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan negara, malah mencipta pekerjaan berkualiti tinggi di AS sendiri.

Namun, Malaysia tidak akan bergantung pada satu kuasa ekonomi sahaja.

“Kita kekal sebagai rakan dagang yang teguh, tetapi kita juga bersedia bertindak untuk melindungi kepentingan ekonomi nasional melalui pelbagai saluran,” katanya lagi.

Anwar turut mengingatkan bahawa landskap global kini berada dalam fasa penuh ketidakpastian – proteksionisme bangkit semula, rantaian bekalan berubah, dan prinsip multilateralisme semakin terpinggir.

BBerkaitan

Latest articles