KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa membina sebuah negara maju tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu dipacu bersama pemerkasaan nilai seni, budaya dan sastera.
Menurut beliau, tanpa roh seni dan budaya, sesebuah tamadun akan kehilangan arah dan jati dirinya, menjadikan pembangunan negara bersifat tempang dan tidak berakar.
“Dalam keghairahan kita mengejar pertumbuhan ekonomi dan transisi digital, jangan sesekali kita sisihkan seni dan budaya – kerana di situlah terletaknya daya cipta, nilai ihsan dan amanah yang membentuk kemanusiaan,” katanya ketika merasmikan pelancaran buku Ismail Zain Intermediations: Selected Writings On Art And Aesthetics di Balai Seni Negara hari ini.
Buku tersebut menghimpunkan 33 tulisan tokoh seni negara, Allahyarham Ismail Zain, yang merentasi pelbagai tema estetika dan pemikiran seni dari tahun 1972 hingga 1989.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Anwar berkata, kerajaan Madani komited untuk tidak membiarkan pembangunan ekonomi berlaku dengan mengorbankan keindahan nilai dan warisan budaya yang menjadi asas kukuh pembinaan bangsa.
“Kita tidak mahu transisi ekonomi atau teknologi hanya dinikmati kelompok elit. Seni dan sastera mesti menjadi jambatan kefahaman kepada seluruh rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menyeru institusi seperti Balai Seni Negara, Arkib Negara dan Perpustakaan Negara untuk memperluas jangkauan karya-karya besar kepada rakyat kebanyakan, bukan hanya dipamerkan di menara gading atau galeri eksklusif.
“Saya mahu kementerian dan institusi berkaitan fikir bagaimana karya seperti tulisan Ismail Zain, atau puisi Pak Samad, dapat menyentuh masyarakat marhaen di desa dan kota,” tambahnya lagi.