Buli: MRSM Perlu Lantik Warden Sepenuh Masa Dari Kalangan Pesara Polis, Tentera

KUALA LUMPUR: Dalam usaha memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan pelajar, Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang meneliti cadangan untuk melantik warden sepenuh masa berstatus kontrak di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah ini adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh bagi membanteras budaya buli yang semakin membimbangkan.

“Cadangan ini dibangkitkan dalam perbincangan bersama Ketua Pengarah MARA semalam. Kita mahu institusi pendidikan seperti MRSM benar-benar menjadi tempat selamat untuk anak-anak membina masa depan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.

Menurut Asyraf, antara cadangan yang dikemukakan termasuk melantik warden dalam kalangan pesara tentera dan polis yang berpengalaman serta mempunyai ketegasan dalam membentuk disiplin pelajar.

“Proses pemilihan warden juga akan melalui temuduga dan penilaian holistik, bukan sekadar syarat akademik, tetapi juga kemampuan untuk menjadi figura contoh yang mampu membimbing dan memantau pelajar secara komprehensif,” jelasnya.

Langkah ini hadir susulan insiden buli membabitkan tujuh pelajar MRSM di Pulau Pinang yang tular baru-baru ini. Dua daripada pelajar terbabit didapati bersalah membuli, manakala lima lagi disabitkan bersubahat, dan kesemua mereka telah diberhentikan daripada pengajian di MRSM berkenaan.

Sejak dilantik sebagai Pengerusi MARA, Asyraf Wajdi tegas dalam pendiriannya menolak sebarang bentuk buli di institusi bawah agensi itu, dengan membawa pendekatan tegas menerusi slogan “You Touch, You Go!”.

“Kita tidak akan bertolak ansur. Budaya buli tidak boleh dibiarkan berakar umbi dalam mana-mana institusi pendidikan – apatah lagi di MRSM, tempat lahirnya bakal pemimpin negara,” tegas beliau.

BBerkaitan

Latest articles