KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Disiplin Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang ditubuhkan untuk siasatan kes buli pelajar baru-baru ini mengesyorkan penamatan pengajian terhadap mereka yang terlibat.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan hal itu selepas jawatankuasa berkenaan bermesyuarat.
“Keputusan kes buli MRSM, Jawatanluasa disiplin Maktab: Tujuh pelajar didapati terlibat, dua terlibat buli fizikal, lima subahat. Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian dari MRSM,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Baru-baru ini tular video berdurasi satu minit 31 saat memaparkan beberapa pelajar didakwa memijak dan duduk di atas seorang pelajar lain, dilaporkan berlaku di sebuah MRSM di Pulau Pinang.
Menerusi video itu dapat dilihat mereka menggunakan tali pinggang untuk mengikatkan kakinya, bagaimanapun remaja lelaki terbabit dilihat tidak melawan.
Susulan itu, Asyraf Wajdi mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan itu, malah menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan mana-mana pelajar MRSM yang melakukan perbuatan itu.
Tegasnya, beliau telah berulang kali mengingatkan pelajar yang melakukan perbuatan buli akan berdepan tindakan dibuang dari institusi pendidikan tersebut.