Jangan Beri Ruang Politikkan Isu, Tegas Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa masyarakat agar tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk mempolitikan isu-isu tertentu, terutamanya yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan negara.

Menurut beliau, sebarang isu yang timbul harus ditangani dengan bijaksana tanpa dijadikan bahan sensasi di media sosial mahupun media arus perdana, demi mengelakkan ketegangan yang tidak perlu.

“Kita kadangkala terlalu diheret oleh media atau media sosial yang gemar mensensasikan isu. Perkara kecil yang boleh diselesaikan secara baik diperbesarkan sehingga seolah-olah negara akan berperang.

“Isu pemindahan kuil, isu serangan terhadap Abang Belon – semua ini boleh diselesaikan tanpa perlu dijadikan bahan pertelingkahan,” katanya ketika berucap dalam Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan April di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITA, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; serta beberapa menteri di JPM termasuk Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sebelum ini, Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa isu kontroversi berkaitan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah diselesaikan secara baik apabila pihak pengurusan bersetuju berpindah ke lokasi baharu yang terletak hanya 50 meter dari tapak asal.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa isu-isu yang disebarkan secara tidak bertanggungjawab di media sosial perlu dibendung agar kestabilan masyarakat majmuk terus terpelihara.

“Jangan beri ruang kepada golongan yang bebal, yang hanya tahu menghukum dan melihat semua pihak sebagai musuh. Kita tidak boleh benarkan politik menghancurkan nilai kemanusiaan dan perpaduan,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyeru agar rakyat kekal berpegang kepada asas-asas Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Melayu, kerajaan Perpaduan dan institusi Majlis Raja-Raja Melayu sebagai tunjang kestabilan negara.

“Menjaga keharmonian bukan bererti kita menghina kaum lain atau menindas golongan minoriti. Ini bukan asas dalam agama kita. Politik tidak seharusnya membutakan kita daripada melihat kebaikan dan usaha pihak lain,” ujar beliau.

BBerkaitan

Latest articles