KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri hari ini menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Sudan Selatan untuk membuat persiapan bagi meninggalkan negara tersebut dengan segera, sementara penerbangan komersial masih beroperasi.
Gesaan itu dikeluarkan berikutan perkembangan terkini dan risiko yang semakin meningkat yang menjejaskan tahap keselamatan di negara tersebut.
“Pejabat Suruhanjaya Tinggi sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia, di samping terus menyelaras dengan pihak berkuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan status 18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang berkhidmat di bawah United Nations Police (UNPOL).
“Kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.
“Kementerian ini juga menasihatkan rakyat Malaysia untuk tidak melakukan sebarang perjalanan ke Sudan Selatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya Wisma Putra akan terus memantau situasi tersebut dengan teliti dan memberikan sebarang perkembangan lanjut sekiranya perlu.