Pemuda OKU Tukar Pengakuan Tak Bersalah Dalam Pertuduhan Cabul Budak Di Masjid

KUALA LUMPUR: Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) yang mencabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid pada bulan lepas, hari ini menukar pengakuan bersalah kepada tidak bersalah.

Pengakuan terbaru tertuduh, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, itu menyebabkan Mahkamah Sesyen Ampang terpaksa menunda keputusan pertuduhan itu yang sepatutnya dijatuhkan pada hari ini.

Hakim Norshila Kamarudin kemudiannya memerintahkan pertuduhan dibacakan semula dan pengakuan tidak bersalah itu direkodkan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie meminta mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi serahan dokumen.

Peguam mewakili Muhamad Adam Haiqal, Lingswaran Singh memaklumkan akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan namun ia hanya boleh dilakukan selepas serahan dokumen baharu oleh pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun 8 bulan pada 21 Februari lalu, pukul 6.20 pagi di Masjid Sungai Masin, Kampung Sungai Masin, Batang Kali.

Jika sabit salah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mahkamah menetapkan serahan dokumen pada 29 April depan manakala tertuduh yang juga penganggur ditahan dan dihantar ke Pusat Koreksional Puncak Alam.

BBerkaitan

Latest articles