KUALA LUMPUR: Soal penempatan baru bagi Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang diperolehi baru-baru ini bukan menunjukkan kerajaan ‘tunduk’ kepada desakan pihak tertentu.
Sebaliknya, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rundingan di antara dua pihak yang terlibat berlangsung secara aman dan berakhlak, sekaligus selari dengan semangat Madani.
Jelas beliau, Madani bukan sahaja mencakupi pertumbuhan ekonomi, teknologi dan digital tetapi juga nilai rahmah dan ihsan.
“Sebab itu, kita memilih untuk menjaga harmoni dengan runding dengan baik. Arahan saya konsisten dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan juga kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur runding dengan baik, apa cara dan helah pun.
“Runding dengan baik, mencari penyelesaian baik itu bukan tanda kelemahan seperti mana yang disanggah oleh sebahagian kelompok tertentu.
“Penyelesaian cara aman beradab, berakhlak, itu nilai madani. Dan itu bukan sahaja kepada umat Islam, tapi kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di sekitar kita,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah dan peletakan batu asas bagi pembinaan Masjid Madani di tanah wakaf milik syarikat tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) bersebelahan tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Munshi Abdullah, hari ini.
Selasa lalu, media melaporkan isu berhubung tapak kuil itu selesai apabila pihak pengurusan kuil berkenaan bersetuju untuk rumah ibadat itu dipindahkan ke lokasi baharu.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, hasil rundingan antara pelbagai pihak termasuk pengurusan kuil, kerajaan telah mengenal pasti tapak baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asal bagi tujuan penempatan semula kuil berkenaan.
Sebelum itu juga, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berperanan menjadi pemudah cara dalam memastikan urusan perpindahan itu yang terletak di atas tanah swasta ke lokasi baharu diselesaikan dengan baik.
Mengulas lanjut, Anwar mengingatkan agar seseorang pemimpin tidak boleh menjadi hero kepada kaumnya sahaja.
Jelas beliau, tindakan sedemikian boleh merosakkan negara dan memecahkan keharmonian rakyat pelbagai kaum.
“Kalau tidak, semua orang jadi hero kaum mereka sendiri, rosak negara ini. Hendak jadi pemimpin Malaysia.
“Tapi, bercakap bagi pihak dan pertahankan sentimen benci kaum.
“Tak kira hukum, tak kira benar atau palsu. Itu hak kami. Hak itu bersandarkan hukum,” katanya.