KUALA LUMPUR: Polis menahan dua beranak warga tempatan ditahan yang dipercayai terlibat dalam kes buang bayi dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata tangkapan dibuat secara berasingan di dua lokasi berbeza pada Selasa.
Katanya, wanita berumur 41 tahun ditahan di perkarangan sebuah kilang di Meru Klang semalam pada jam 6.15 petang.
Manakala, anak wanita itu yang berusia 18 tahun dan bekerja di restoran makanan segera ditahan pada 8.30 malam di dalam daerah Meru, Klang.
“Pihak polis juga telah merampas beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan iaitu melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza, pakaian, telefon bimbit serta lain-lain bukti daripada kedua-dua suspek,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati ibu remaja berkenaan tidak mengetahui anaknya mengandung sebelum ini.
Katanya lagi, kedua-dua beranak berkenaan kini direman empat hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut, Md Yusof berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, seorang bayi ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam mangkuk tandas wanita di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani pada tengah hari Ahad.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar selepas orang awam menemui mayat bayi tersebut sebelum melaporkannya kepada polis kira-kira jam 12 tengah hari.
Dilaporkan, pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia pada jam 11.15 pagi.