KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menepis dakwaan penceramah bebas, Firdaus Wong bahawa kerajaan membayar pampasan RM2 juta kepada pihak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
“Dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas. Kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil seperti yang digambarkan.
“Malahan, tiada sebarang perjanjian atau ‘deal’ lain dibuat selain daripada penyelesaian yang telah saya umumkan secara rasmi semalam,” katanya dalam satu kenyataan.
Respon Dr Zaliha itu menyusul selepas Firdaus mempersoalkan sama ada pihak Jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman ada menerima RM2 juta sebagai pampasan.
“Adakah benar pihak kuil bukan sahaja dapat tanah 4,000 sqt psecara percuma tetapi mereka juga menerima ‘pampasan’ RM2 juta?
“Kerajaan perlu telus dan dedahkan ‘deal’ sebenar,” katanya di Facebook.
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Zaliha menegaskan perbincangan pihaknya bersama pengurusn kuil itu dilakukan secara harmoni antara semua pihak yang terlibat dan bersifat menang-menang.
Ini supaya, pembinaan masjid yang telah tertangguh sejak tahun 2020 di atas tanah milik swasta tersebut dapat diteruskan seperti yang dirancang adalah paling utama.
Manakala pihak kuil pula bersetuju untuk berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti.
“Saya juga ingin menegaskan sekali lagi kes ini tidak boleh dijadikan sebagai rujukan (precedent case) untuk mana-mana kes lain pada masa akan datang. Ia adalah penyelesaian khusus kepada isu tersebut, yang ditangani dengan penuh hikmah, mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan sensitiviti pelbagai pihak.
“Saya menggesa agar semua pihak menghentikan polemik yang tidak berfaedah ini. Janganlah kita mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat yang tidak sahih, kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah kita bina bersama,” katanya lagi.
Dua hari lalu, perbincangan bersama pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berjaya mencapai kata sepakat memindahkan ia ke lokasi baru kira-kira 50 meter dari tapak asal, dengan keluasan 4,000 kaki persegi iaitu setara dengan saiz kuil sedia ada.
Tapak tersebut merupakan sebahagian daripada Lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala Lumpur.