Firdaus Wong Persoal Status Pemilikan Tanah Kuil Baru

KUALA LUMPUR: Di sebalik penghargaan kepada pihak kerajaan dalam penyelesaian isu kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, penceramah bebas, Firdaus Won Wai Hung, mempersoalkan sama ada tanah baru yang menggantikan kuil itu dibeli oleh pihak rumah ibadat itu atau diberikan secara percuma.

Sehubungan itu beliau menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menjelaskan perkara itu.

“Ia situasi menang-menang apabila pihak yang menceroboh tanah dikenakan tindakan dan dihukum atas kesalahan tersebut, manakala pihak Jakel mendapat ganti rugi akibat pencerobohan yang menyebabkan pembinaan masjid tertangguh selama 10 tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Firdaus menegaskan bahawa beliau bukan ahli politik dan tidak mempunyai kepentingan politik.

Namun, beliau mengkritik tindakan kerajaan terdahulu – dari era Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, hingga kerajaan sekarang – yang didakwanya memberikan tanah secara percuma kepada pihak yang membina rumah ibadat secara haram.

Sebelum ini, Firdaus mempersoalkan sama ada pihak kuil perlu membeli tanah tersebut pada harga pasaran, diberikan secara percuma, atau dibeli oleh kerajaan untuk dihadiahkan kepada mereka.

“Jika pihak kuil membeli tanah dengan harga pasaran, itu sesuatu yang baik.

“Tetapi jika tanah diberikan percuma atau dibeli kerajaan untuk dihadiahkan, ia hanya akan mencetuskan lebih banyak masalah di masa hadapan. Ini boleh menyebabkan lebih banyak tanah kerajaan diberikan kepada penceroboh yang membina rumah ibadat di atas tanah yang bukan milik mereka,” katanya.

Firdaus turut membandingkan situasi tersebut dengan masjid dan surau, yang menurutnya perlu mengumpul dana sendiri dan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa sebelum pembinaan dapat dilakukan.

“Begitu juga dengan gurdwara dan gereja,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles