Lelaki Kritikal Selepas Kelar Leher Sendiri, Tertekan Selisih Faham Dengan Isteri

KUALA LUMPUR: Gara-gara tertekan dengan pergaduhan dengan isterinya, seorang lelaki bertindak mengelar lehernya sendiri menggunakan pisau pemotong daging di hadapan sebuah restoran di Danga Bay, dua hari lalu.

Kejadian itu turut dirakam beberapa individu yang kemudiannya menjadi tular di media sosial.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.25 tengah malam selepas dimaklumkan oleh anggota polis bantuan di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa bertindak sedemikian akibat tekanan perasaan selepas berlaku perselisihan faham dengan isterinya.

“Mangsa kini dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, tular sebuah video di aplikasi X memaparkan kejadian seorang lelaki yang berusia 27 tahun itu mengacukan pisau dan mengelar leher sendiri di hadapan sebuah restoran.

Mengulas lanjut, Raub menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan video kejadian yang tular dalam media sosial bagi mengelakkan spekulasi serta salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan fizikal dalam menyelesaikan sebarang perselisihan faham.

“Sebarang ketidakpuasan hati seharusnya diselesaikan secara aman melalui saluran yang betul,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2182323.

BBerkaitan

Latest articles