KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyelar tindakan terbaru membabitkan seorang individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
Sehubungan itu beliau menggesa Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook, Khor Soon Seat.
Aaron menegaskan tindakan menghina mana-mana agama bukan sahaja mencabuli prinsip keharmonian dan perpaduan negara tetapi juga boleh mengundang akibat yang sangat serius kepada keamanan dan ketenteraman awam.
Beliau turut mengingatkan setiap individu di negara ini untuk saling menghormati dan menjaga sensitiviti agama masing-masing kerana Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian agama dan budaya.
“Saya ingin memberi amaran dengan tegas bahawa sebarang kenyataan atau tindakan yang menyentuh sensitiviti agama lain akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi oleh pihak penguatkuasa.
“Saya ingin mengingatkan bahawa tiada ruang untuk sebarang bentuk kebencian atau provokasi agama di negara ini.
“Kerajaan akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan perpecahan atau ketegangan antara kaum dan agama.
“Setiap warganegara Malaysia wajib faham, hormat dan terima kepelbagaian yang ada.
“Marilah kita semua hidup dalam suasana yang penuh hormat dan saling memahami, demi menjaga keamanan dan keharmonian negara yang kita cintai ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu hantaran individu bernama Khor Soon Keat di Facebook yang dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW menerusi hantaran di media sosial, mendapat kecaman pelbagai pihak.
.