Keganasan Seperti ‘Dibenarkan’ Di Gaza, Sistem Pertahanan Dunia Rosak

KUALA LUMPUR: Malaysia menyelar serangan berterusan di Gaza, apatah lagi dengan keganasan seolah-olah diizinkan apabila lebih 322 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh lima jam selepas Israel kembali melancarkan serangan di Semenanjung Gaza hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun terdapat tempoh gencatan senjata, serangan ke atas rakyat Palestin tidak pernah berhenti.

“Kita sebenarnya tidak bersetuju dengan istilah gencatan senjata jika serangan ganas terhadap rakyat, khususnya wanita dan kanak-kanak, masih diteruskan.

“Sekarang ada usaha perdamaian, tetapi pembunuhan tetap berlanjutan. Ini menunjukkan sistem pertahanan dunia telah rosak kerana keganasan seolah-olah dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang di pekarangan Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah, Nibong Tebal, hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Dalam mengulas pendirian Malaysia, Anwar menegaskan bahawa negara akan terus mengecam kekejaman tersebut dan memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Kita akan menyalurkan bantuan mengikut kemampuan dari aspek kebajikan dan kemanusiaan. Apa yang sangat kita kesalkan, serangan ini berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia.

“Tidak ada langsung perikemanusiaan. Jadi, kita berdoa semoga Allah SWT melindungi keluarga mangsa dan mencucuri rahmat ke atas para syuhada,” katanya.

Terdahulu, pihak berkuasa Gaza melaporkan bahawa lebih 322 rakyat Palestin terbunuh atau hilang dalam tempoh lima jam selepas Israel kembali melancarkan serangan di seluruh Semenanjung Gaza.

Sementara itu, tentera Israel mengesahkan bahawa mereka telah melancarkan serangan udara terbesar ke atas Gaza sejak gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari lalu, lapor Anadolu Ajansi.

BBerkaitan

Latest articles