Kerajaan Kecam Serangan Israel, Petugas Kemanusiaan Mapim Terbunuh di Gaza

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Israel yang mengorbankan lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dalam serangan udara di utara Gaza, minggu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Naim Mokhtar, menyifatkan serangan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta prinsip asas kemanusiaan.

“Saya merakamkan rasa dukacita dan takziah atas tragedi yang menimpa petugas Mapim yang syahid akibat serangan bom rejim Israel di pusat bantuan kemanusiaan di Gaza.

“Serangan terhadap mereka yang menyampaikan bantuan kemanusiaan adalah satu jenayah yang tidak boleh diterima dan harus dikecam oleh seluruh dunia.

“Tindakan ini juga melanggar Konvensyen Geneva yang secara jelas melindungi petugas kemanusiaan dalam zon peperangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Serangan udara yang berlaku di Beit Lahiya pada Sabtu lalu itu dilaporkan berlaku pada jam 1.30 tengah hari ketika petugas sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga pelarian akibat serangan berterusan Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim, berkata kejadian tersebut menambah lagi penderitaan rakyat Palestin yang telah lama tertindas.

Sementara itu, Mohd Naim menegaskan bahawa agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan terus komited dalam usaha membantu Palestin.

“Dunia tidak boleh berdiam diri terhadap kekejaman yang berterusan ini, yang hanya memperburuk keadaan rakyat Palestin.

“Saya menggesa rakyat Malaysia untuk terus berdoa, membaca Qunut Nazilah demi kemenangan Palestin, serta memberikan sokongan penuh kepada perjuangan mereka,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat untuk bersatu dalam usaha menyalurkan sumbangan dan bantuan kemanusiaan bagi meringankan penderitaan rakyat Gaza.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin dan keselamatan semua petugas kemanusiaan yang berjuang membantu mereka,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles