Menteri Kecam Tindakan Warga Emas Tampar Lelaki Bukan Muslim di Bulan Ramadan

KUALA LUMPUR: Insiden seorang warga emas menampar seorang lelaki bukan Muslim kerana makan pada bulan Ramadan di sebuah pusat membeli-belah di sini mencetuskan kecaman dan dianggap tidak mencerminkan semangat perpaduan negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menegaskan bahawa tindakan seperti itu bersifat provokatif dan harus dihentikan segera.

“Tindakan sedemikian tidak boleh dibiarkan berkembang di negara yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara. Saya mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi, dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, mangsa, yang dikenali sebagai Elijah, telah membuat laporan polis di Balai Polis Tampoi, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Aaron turut menggesa semua pihak agar memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Insiden ini mula tular selepas Elijah berkongsi rakaman kejadian di platform X.

Di dalam video itu, seorang lelaki didakwa bertanya sama ada dia beragama Islam dan meminta kad pengenalannya sebelum bertindak menamparnya beberapa kali.

“Syukurnya anak lelaki itu menenangkan keadaan dan meminta maaf bagi pihak bapanya. Tapi pak cik itu telah menampar saya di tempat awam. Saya boleh terima permohonan maaf, tapi saya tak boleh lepaskan benda ini,” katanya.

Aaron menekankan bahawa isu perpaduan tidak boleh dipandang remeh dan rakyat Malaysia perlu sentiasa mengamalkan nilai hormat-menghormati.

“Negara ini hanya akan maju jika kita bersatu, saling menghormati, dan hidup dalam keadaan aman tanpa sebarang ketegangan kaum atau agama,” katanya.

Kes ini kini dalam siasatan pihak berkuasa.

BBerkaitan

Latest articles