Fahmi Umum Tanding Jawatan Naib Presiden PKR

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, mengesahkan akan bertanding jawatan naib presiden parti itu dalam pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada 24 Mei ini.

Menteri Komunikasi dan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan pemimpin serta rakan-rakan dalam parti, selain perbincangan bersama cabang Lembah Pantai dan akar umbi ketika lawatannya ke negeri-negeri.

“Penilaian yang dibuat mendapati masih ada ruang untuk saya menyumbang kepada parti. Selepas berbincang dengan pelbagai pihak, termasuk di peringkat akar umbi, saya memutuskan untuk menawarkan diri.

“Apabila tiba masanya, insya-Allah saya akan menghantar pencalonan secara rasmi,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan kurma dan bubur lambuk kepada orang ramai di Bazar Ramadan Bazaria, Pantai Dalam, semalam.

Fahmi turut menegaskan bahawa beliau dan pasukannya akan merangka strategi berbeza dalam usaha memastikan kemenangan.

“Dalam Keadilan (PKR), pertandingan adalah dalam keluarga. Kami akan bertanding secara sihat dan mengelakkan unsur negatif, selaras dengan nasihat Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sudah tentu, saya dan pasukan akan mengetengahkan idea terbaik kami. PKR adalah parti yang berpandangan jauh, dan ahli ingin melihat gagasan serta inisiatif baharu daripada kepimpinan,” tambahnya.

Pengumuman Fahmi menjadikannya pemimpin terbaharu yang menyertai saingan jawatan naib presiden, selepas empat penyandang mengesahkan akan mempertahankan kedudukan mereka.

Mereka ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; serta Nurul Izzah Anwar.

BBerkaitan

Latest articles