Pindaan Perlembagaan Perlu Dibuat Untuk Had Jawatan PM Untuk Tempoh 10 Tahun

KUALA LUMPUR: DAP menggesa Kerajaan Perpaduan agar meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata pelaksanaan pindaan itu perlu dibuat dalam tempoh 24 bulan akan datang kerana ia merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita bukan meminta Anwar berhenti, tetapi pindaan ini akan menjadi legasi kepada beliau dalam sistem pentadbiran negara.

“Parti akan terus berpegang dengan pendirian bahawa tiada calon lain untuk PH selain Anwar,” katanya dalam ucapan dasar sempena Kongres DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, hari ini.

Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, menegaskan bahawa DAP akan terus menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya PH kembali membentuk kerajaan pada PRU ke-16 (PRU16).

Selain mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, Loke turut menekankan kepentingan mempercepatkan pindaan Perlembagaan bagi memastikan pengasingan tugas antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dapat direalisasikan.

“Ini adalah usaha berterusan yang sedang dilaksanakan kerajaan.

“Minggu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mengadakan lawatan kerja ke United Kingdom (UK) untuk meneliti pelaksanaannya di sana,” katanya.

Tahun lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, memaklumkan bahawa kerajaan telah memulakan kajian komprehensif berhubung cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Beliau berkata, kajian itu melibatkan sesi libat urus dan perbandingan dengan negara luar.

Sementara itu, Azalina turut mencadangkan agar satu sidang khas Parlimen diadakan di bawah Peraturan 11(3) Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi membahaskan cadangan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

“Pindaan ini memerlukan perbahasan mendalam serta keputusan Jemaah Menteri sebelum dapat dilaksanakan,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles