Teresa Kok Dipercayai Masih Berpeluang Kekal Dalam CEC DAP Walaupun Berdepan Isu Rasuah kata Bekas Ahli

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, dipercayai masih berpeluang mempertahankan kedudukannya dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP walaupun dikaitkan dengan kes rasuah membabitkan dua bekas pembantunya kerana kerana kedudukan DAP kini yang bukan lagi sebuah parti yang mementingkan nilai integriti.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee Ying Ha, berkata mengambil contoh terdekat apabila seorang lagi bekas ADUN dari Parti itu yang baru-baru ini mengangkat sumpah selepas dilantik pada Februari lalu meskipun mempunyai rekod salah guna kuasa dan rasuah ketika berkhidmat dalam sektor awam di Selangor pada tahun 2010.

“DAP sebelum ini lantang melaungkan integriti, akauntabiliti, tadbir urus yang baik, dan demokrasi, tetapi kini di mana semua slogan itu?” katanya ketika dihubungi.

Jenice berkata bahawa Teresa Kok adalah pemimpin yang berpengaruh dalam parti dan sukar dipinggirkan, terutama dengan sokongan daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan menurutnya, DAP kini seolah-olah kekurangan pemimpin muda atau pelapis yang boleh diketengahkan.

“Tindakan Teresa Kok adalah salah kerana tidak melaporkan kes ini kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Dalam sidang media semalam (13 Mac 2025), beliau menyatakan bahawa aduan rasmi tidak diperlukan. Saya hairan, apa sudah jadi dengan DAP? Sebelum ini, jika kes sebegini membabitkan parti lawan, mereka paling lantang menyuarakan tentangan. Namun, apabila melibatkan ahli sendiri, mereka menyatakan SPRM tidak perlu menunggu aduan rasmi,” katanya.

Jenice menegaskan bahawa Teresa Kok sepatutnya mengambil langkah awal melaporkan perkara tersebut untuk mengekalkan imej sebagai pemimpin berwibawa.

“Jika kes ini dilaporkan lebih awal, saya percaya ia tidak akan merendahkan imejnya. Beliau juga tidak perlu risau mengenai peluangnya dalam parti. Namun, DAP kini seolah-olah tidak lagi peduli tentang integriti. Tengoklah kes Tiew Way Keng, yang masih dilantik sebagai senator walaupun mempunyai rekod di mahkamah. Apakah tiada ahli lain yang lebih layak?”

Sementara itu, Lim Kit Siang dilaporkan menyatakan sokongannya kepada Teresa Kok berhubung siasatan SPRM terhadap dua bekas pembantunya. Beliau berkata, selepas berbincang dengan Teresa Kok mengenai isu tersebut, beliau yakin Ahli Parlimen Seputeh itu tidak bertanggungjawab atas penahanan mereka.

BBerkaitan

Latest articles