KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 individu yang dipercayai terlibat dalam kes rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bukan warganegara kepada warganegara serta penggunaan dokumen sokongan palsu bagi pendaftaran kelahiran.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata operasi khas Op Outlander dan Op Birth telah dijalankan semalam dengan serbuan ke beberapa premis, termasuk klinik dan firma guaman di Lembah Klang dan Johor.
Menurut Ahmad Khusairi, dalam Op Outlander, seorang penjawat awam dikenal pasti sebagai suspek utama kerana dipercayai membantu pendaftaran lewat kelahiran yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran.
“Kegiatan ini dipercayai turut didalangi seorang pengamal perubatan bergelar ‘Datuk Seri’ yang memiliki beberapa klinik dan pusat bersalin. Individu ini disyaki mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu bagi menyokong permohonan pendaftaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam Op Birth, tiga suspek utama yang bertindak sebagai ejen dipercayai menawarkan dan memberi rasuah sekitar RM18,000 kepada seorang penjawat awam untuk membantu pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen palsu seperti surat pengesahan hospital.
Selain itu, enam orang awam yang dipercayai menggunakan khidmat ejen bagi memohon pendaftaran kelahiran turut ditahan.
Seorang pengamal undang-undang juga ditahan kerana disyaki bertindak sebagai orang tengah antara ejen dan pemohon.
Kesemua 16 suspek, berusia 20 hingga 70-an, ditahan dalam serbuan antara jam 11 pagi hingga 8 malam semalam.
Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat SPRM dan SPRM Selangor bagi membantu siasatan dan dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini untuk permohonan reman.
Bagaimanapun, dua suspek, termasuk individu bergelar Datuk Seri, dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka direkodkan, berikutan masalah kesihatan.
Menurut Ahmad Khusairi, serbuan semalam dibuat hasil risikan selama hampir setahun dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau menegaskan bahawa tangkapan ini mencerminkan komitmen SPRM dalam membanteras rasuah, terutamanya yang melibatkan perkhidmatan awam bagi memastikan keselamatan negara terjamin.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.