PUSPAKOM Perketat Sistem Tempahan, Tiada Lagi ‘Runner’

KUALA LUMPUR: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) kini hanya membenarkan satu tempahan slot bagi setiap kenderaan bagi mengelakkan eksploitasi oleh orang tengah atau ‘runner’ yang menjual slot mereka untuk keuntungan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata langkah ini diambil selepas pihaknya mengesan individu yang membuat tempahan berganda dan menjualnya pada harga tinggi.

“Sebelum ini, ada kes di mana sebuah kenderaan menempah sehingga empat slot pemeriksaan pada hari yang sama menggunakan nombor pendaftaran yang sama. Kini, hanya satu slot dibenarkan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau operasi PUSPAKOM Wangsa Maju, hari ini.

Beliau turut mengumumkan bahawa sistem tempahan PUSPAKOM akan ditambah baik dengan membekukan slot asal sekiranya pemilik kenderaan menunda tarikh pemeriksaan.

“Ia bertujuan mengelakkan slot tersebut daripada dipindahkan atau dijual kepada pihak lain yang tidak sepatutnya mendapat keutamaan,” jelasnya.

Dalam usaha mengurangkan tempoh menunggu pemeriksaan, PUSPAKOM akan meningkatkan kapasiti pemeriksaan harian daripada 13,500 kepada 15,500 kenderaan.

Selain itu, Kementerian Pengangkutan akan memperkenalkan konsep deklarasi kendiri bagi beberapa aspek pemeriksaan yang tidak melibatkan keselamatan, termasuk tanda badan kenderaan, tanda had laju, kit bantuan kecemasan, nombor pendaftaran, serta keadaan tempat duduk penumpang bagi kenderaan perkhidmatan awam.

“Dengan perubahan ini, kenderaan tidak lagi akan gagal pemeriksaan hanya kerana isu seperti teks alamat pada badan kenderaan yang tidak selari, yang sebelum ini menjadi faktor kegagalan walaupun tidak membahayakan keselamatan jalan raya,” katanya.

Bagaimanapun, PUSPAKOM tidak lagi memeriksa aspek tertentu ini, penguat kuasa masih boleh menjalankan pemeriksaan di jalan raya bagi memastikan pemilik kenderaan mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].

Bagi memastikan kelancaran proses pemeriksaan, PUSPAKOM akan melanjutkan waktu operasinya sepanjang bulan Mac.

“Semua cawangan, kecuali di Langkawi dan Pekan, akan beroperasi pada hari Sabtu dan selama 12 jam sehari, iaitu empat jam lebih lama daripada waktu operasi biasa,” kata Anthony.

BBerkaitan

Latest articles