KUALA LUMPUR – Mahkamah Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata membatalkan keputusan Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur (COB) yang meletakkan tanggungjawab kepada Perbadanan Pengurusan Icon Residence (JMB) Mont Kiara untuk mengurus dan menyelenggara bangunan itu secara sementara.
Sehubungan itu, Presiden Tribunal, Hakim Zainal Azlan Abdul Kadir, mengarahkan pihak COB mengeluarkan surat rasmi serta-merta kepada Pemaju Perumahan, Maxim Heights Sdn Bhd, dan pihak Perbadanan Pengurusan (MC) bagi mengesahkan bahawa keputusan sebelum ini yang dinyatakan dalam surat-surat bertarikh 27 Februari 2024 dan 19 April 2024, dalam tempoh tujuh (7) hari, adalah terbatal dan kesemua tuntutan balas pihak penentang turut ditolak.
Keputusan ini memberi tamparan hebat kepada pihak JMB, yang sebelum ini telah beberapa kali mengalami kekalahan dalam kes berkenaan di mahkamah.
Mahkamah Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata sebelum ini menetapkan 10 Mac 2025 bagi keputusan kes JMB Icon Residence Mont Kiara, yang mencabar keabsahan lantikan MC perumahan itu.
Pada prosiding itu, wakil Suruhanjaya Bangunan (COB) turut diperintah mengemukakan hujah perundangan bagi mempertahankan tindakannya yang tidak memperakui keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lalu.
Presiden Tribunal, Hakim Zainal Azlan Abdul Kadir, memerintahkan wakil COB, M. Palaniappan, untuk mengemukakan hujahan dalam tempoh dua minggu, iaitu pada 20 Januari 2025, sebelum pihaknya membuat keputusan.
Beliau dilaporkan beberapa kali meminta Palaniappan mengemukakan hujah berkenaan keputusan COB yang mengekalkan JMB, walaupun perkara tersebut telah diputuskan oleh mahkamah pada Julai tahun lalu.
Bagaimanapun, Palaniappan menjawab bahawa keputusan itu dibuat kerana pihaknya tidak mahu menerima sebarang implikasi berikutan tindakan JMB pada ketika itu membawa semula kes berkenaan ke mahkamah.
Justeru, Hakim Zainal turut mempersoalkan sama ada pihaknya akan mengekalkan tindakan yang sama jika perkara itu sekali lagi dibawa ke mahkamah dan menerima keputusan yang sama.
Namun, Palaniappan selaku defendan gagal memberikan hujah yang jelas, menyebabkan hakim mengarahkannya untuk mengemukakan hujah perundangan bertulis sebelum tarikh yang ditetapkan.