Isu Peruntukan: Tak Timbul Isu Miskin Sedangkan Gaji, Elaun MP Cecah RM40,000

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu peruntukan yang tidak diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang sehingga didakwa menyebabkan mereka ‘miskin’ tidak sepatutnya dibangkitkan.

Menurutnya, gaji serta pelbagai elaun yang diterima oleh Ahli Parlimen boleh mencecah antara RM30,000 hingga RM40,000 sebulan, dan masalah hanya timbul jika mereka tidak bijak mengurus kewangan.

“Hendak jadi hero jalanan, belajarlah dahulu. Sekarang mereka gunakan isu ini untuk mencetuskan kekecohan. Ada yang kata sampai miskin berhutang, sedangkan gaji Ahli Parlimen mencecah RM30,000 hingga RM40,000.

“Siapa di sini dapat sebanyak itu? Perbezaannya, peruntukan untuk kawasan tetap disalurkan kepada rakyat, cuma projek itu diberikan terus kepada rakyat dan bukan melalui Ahli Parlimen,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-29 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Menara Hasil, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mendakwa syarat ditetapkan kerajaan dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang terlalu ketat, seolah-olah memaksa mereka menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan.

Anwar menegaskan bahawa ketika ini, projek tidak diberikan kepada Ahli Parlimen, sebaliknya mereka hanya berperanan mengemukakan cadangan atau usul.

“Dakwaan rakyat terbeban atau Ahli Parlimen menjadi miskin papa kedana tidak benar. Saya tidak pasti bagaimana RM40,000 sebulan masih dianggap miskin.

“Hutang kalau beli banyak kereta atau isteri ramai, mungkinlah,” selorohnya.

BBerkaitan

Latest articles