KUALA LUMPUR: Kerajaan kini memastikan golongan mahakaya tidak lagi diberikan kelonggaran dalam pembayaran cukai, sekali gus mengurangkan kebocoran hasil negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa situasi ini terbukti apabila tiada individu berpengaruh yang berani membuat rayuan bagi mengelak cukai.
Beliau turut memuji integriti tinggi pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam melaksanakan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab.
“Kita tahu negara berkembang, sistem semakin mantap, tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan. Saya bangga melihat prestasi kutipan hasil menunjukkan semangat, keupayaan dan kepimpinan yang bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-29 LHDN di Menara Hasil, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan bahawa LHDN telah mencatat peningkatan kutipan cukai langsung sebanyak RM1.46 bilion pada tahun 2024, berbanding RM184.805 bilion yang dikutip pada tahun sebelumnya.
Beliau yakin, dengan penambahbaikan dalam tadbir urus, pemantapan disiplin serta pengenalan instrumen baharu seperti e-Invoice, hasil negara akan terus meningkat pada masa depan.
“Saya percaya, sistem yang lebih teratur dan penggunaan teknologi seperti e-Invoice akan membantu meningkatkan kecekapan kutipan hasil negara,” katanya.