KUALA LUMPUR: Sebanyak enam jenis ubat dirampas pihak polis dari kediaman usahawan dan pempengaruh media sosial, Ridzuan Ridzokumura, sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung kematian isterinya, Akiko Okumura, pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata ubat-ubat tersebut dipercayai diambil dari Jepun dan pihak polis akan mendapatkan bantuan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kedutaan Jepun untuk mengenal pasti jenis ubat yang dirampas.
“Ada enam jenis ubat yang kita rampas daripada rumah itu yang dipercayai diambil dari Jepun. Kita akan dapatkan bantuan daripada kedutaan untuk mengenal pasti ubat-ubat ini yang mungkin ada kaitan dengan insiden ini,” kata Hussein kepada pemberita hari ini.
Hussein menjelaskan bahawa pihak polis akan terlebih dahulu meminta bantuan pakar farmasi di Malaysia sebelum meminta bantuan lanjut dari Jepun melalui Kedutaan Jepun jika diperlukan.
Pada Selasa lalu, Hussein mengesahkan bahawa wanita warga Jepun yang maut akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya pada Jumaat lalu adalah isteri kepada Ridzuan Ridzokumura.
Walau bagaimanapun, pihak polis menyatakan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes tersebut masih dalam siasatan sebagai kes mati mengejut.
Selain itu, Hussein turut memberitahu bahawa pihak polis tidak menolak kemungkinan untuk menyiasat aspek lain seperti tahap kesihatan Akiko sebelum insiden tersebut.
“Pihak polis masih menyiasat dalam kategori mati mengejut dan kita lihat dalam semua sudut, sama ada dia dalam kemurungan atau ada masalah perubatan dan sebagainya. Kita masih menyiasat lagi sama ada dia terima rawatan di Malaysia atau negara dia (Jepun),” tambah beliau.
Hussein turut menegaskan bahawa mereka perlu bantuan dengan pakar ubat untuk mengenal pasti jenis ubat yang dirampas, sama ada ia merupakan ubat biasa atau digunakan untuk tujuan lain.