PROMAS Mahu Jadi Peneraju Perdagangan Halal Malaysia-China

KUALA LUMPUR — Persatuan Perniagaan Promas Antarabangsa Malaysia (PROMAS) terus mengorak langkah sebagai peneraju industri perdagangan halal antara Malaysia dan China.

Presidennya, Datuk Chong Chong Tik, menyatakan bahawa PROMAS komited untuk menjadikan China sebagai rakan dagangan halal terbesar di ASEAN dan dunia.

Sejajar dengan matlamat ini, PROMAS telah menjemput puluhan pelabur dari China untuk menghadiri sesi taklimat khas oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Putrajaya bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai pensijilan halal Malaysia.

Sebagai langkah proaktif, PROMAS menjalinkan kerjasama dengan rakan strategik Halal JAKIM, iaitu Zajas Sdn Bhd, bagi melancarkan usaha perolehan pensijilan halal kepada syarikat pengeluar produk makanan, minuman, pakaian, kosmetik dan lain-lain di China.

Inisiatif ini bertujuan memperkenalkan standard pematuhan pensijilan halal Malaysia di China serta memperluaskan pasaran produk halal Malaysia-China ke peringkat global.

“Ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha kami untuk menyokong dan mengembangkan potensi industri halal global. PROMAS juga komited terhadap seruan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk membantu usahawan China dalam memahami dan mendapatkan pensijilan halal,” kata Chong Tik pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara PROMAS dan Zajas Sdn Bhd, semalam.

Dalam majlis tersebut, PROMAS diwakili oleh Chong Tik, manakala Zajas Sdn Bhd diwakili Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Jaafar. Turut menyaksikan majlis menandatangani MoU ialah Presiden Kehormat Sepanjang Hayat, Puan Sri Susan Cheah; Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Loo Kok Seong; Pengurus Kanan Jabatan Kewangan Pusat Perdagangan Luar China, Chen Yun; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Muhyidin Aziz Saari; serta Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia, Mohamad Zamri Mohamed Shapik.

Majlis ini turut dihadiri oleh lebih 120 pemain industri halal dari China dan beberapa pengusaha tempatan yang berminat untuk menerokai pasaran halal antarabangsa.

Menurut Chong Tik, tanggungjawab yang diberikan kepada PROMAS akan digunakan sebaiknya bagi membimbing usahawan China dalam memperoleh pensijilan halal Malaysia yang dikawal selia oleh JAKIM.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sahaja menguntungkan China tetapi juga memberi manfaat kepada usahawan tempatan dalam memperluaskan jaringan perdagangan halal mereka ke peringkat antarabangsa.

Dengan langkah agresif PROMAS dalam mempromosikan perdagangan halal antara Malaysia dan China, industri halal dijangka berkembang lebih pesat, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan utama dalam perdagangan halal dunia.

BBerkaitan

Latest articles