KUALA LUMPUR: Kenaikan harga kelapa diimport dari Indonesia antara faktor kenaikan harga santan segar secara mendadak di pasaran sejak November tahun lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata faktor lain adalah peningkatan eksport kelapa Indonesia ke China.
“Peningkatan harga berpunca daripada kenaikan harga kelapa import dari Indonesia berikutan kekurangan bekalan serta peningkatan eksport kelapa Indonesia ke China, sekali gus memberi kesan kepada harga kelapa tempatan berikutan permintaan lebih tinggi,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai perancangan menangani lonjakan harga produk berasaskan kelapa, terutama santan yang boleh menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan dan nilai berteraskan kelapa.
Selain itu, Mohamad berkata trend petani tempatan yang lebih cenderung menjual kelapa muda, berbanding kelapa tua turut menyumbang kepada bekalan tidak mencukupi untuk pemprosesan santan.
“Kebanyakan penanam kelapa di negara ini memilih untuk menjual kelapa muda kerana harga lebih tinggi dan tempoh tuaian lebih singkat.
“Faktor cuaca seperti kemarau dan banjir juga memberi kesan kepada pengeluaran kelapa di ladang,” katanya.
Mohamad berkata, tindakan intervensi seimbang antara pengurusan bekalan, penyelidikan dan pembangunan serta sokongan kerajaan sudah diambil untuk menangani isu lonjakan harga produk berasaskan kelapa, terutama santan bagi jangka pendek, pertengahan dan panjang.