KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan kertas siasatan berhubung video yang mempersendakan agama Hindu yang dilakukam penyampai Era FM dan dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio itu akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (AGC), esok.
Susulan insiden itu, MCMC telah memanggil pengurusan tertinggi Astro untuk memberikan penjelasan.
Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kali ini berdasarkan peruntukan selepas pindaan akta berkuat kuasa.
Rakaman percakapan pihak terlibat telah dibuat bagi membantu siasatan, dan MCMC turut menyerahkan Notis Niat bagi Penggantungan Lesen kepada pemegang lesen yang mengendalikan ERA FM.
Pemegang lesen diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil.
Terdahulu polis memaklumkan siasatan terhadap video persenda agama Hindu yang dilakukan ketiga-tiga penyampai radio terbabit; Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin dibuat berdasarkan Seksyen 298 Kanun Keseksaan, berkaitan perlakuan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian, perpecahan atau kebencian atas alasan agama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berhubung penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan dalam talian.
Malah ketiga-tiga penyampai itu juga direhatkan sementara siasatan dijalankan.