KUALA LUMPUR: Polis telah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan seorang guru yang mempunyai hubungan istimewa dengan murid perempuan berusia 12 tahun di sebuah sekolah di Sepang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar, berkata antara individu yang telah dipanggil termasuk mangsa, bapa mangsa, guru berkenaan serta beberapa murid lain.
“Polis juga telah merampas telefon bimbit milik mangsa dan suspek bagi membantu siasatan. Setakat ini, siasatan mendapati murid tersebut tidak mempunyai sebarang masalah disiplin dan merupakan pelajar cemerlang dalam akademik serta kokurikulum,” katanya.
Hasil siasatan mendapati guru terbabit telah berkhidmat selama lima tahun dan merupakan seorang duda dengan tiga orang anak.
Dalam pada itu Hussien memaklumkan siasatan kini berada di peringkat akhir dan pihaknya sedang menunggu laporan perubatan sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Baru-baru ini bapa murid berkenaan mendakwa guru lelaki tersebut mempunyai hubungan luar biasa dengan anaknya selepas menyedari komunikasi kerap di antara kedua-duanya melalui aplikasi TikTok, Love8, dan WhatsApp dalam keadaan mencurigakan.
Beliau turut mendakwa perbualan antara anaknya dan guru berusia 30-an itu tidak mencerminkan hubungan profesional antara seorang pendidik dan murid.