Noraniza Idris Laporan Polis Dakwa Perniagaan Muruku Ditipu RM630,000

KUALA LUMPUR: Penyanyi Noraniza Idris, membuat laporan polis hari ini di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam selepas perniagaan muruku miliknya mengalami kerugian hampir RM630,000, dipercayai ditipu sebuah syarikat di bawah sebuah akademi keusahawanan tempatan.

Noraniza berkata, beliau menyedari telah diperdaya selepas syarikat terbabit gagal melunaskan sebarang pembayaran, walaupun telah mengambil 20,000 pek produk sejak perjanjian kolaborasi di antara kedua-dua pihak ditandatangani Mei tahun lalu.

Penyanyi lagu etnik berusia 57 tahun itu, berkata kerugian dialami pihaknya meliputi kos pembelian mesin khas pembuatan muruku, percetakan label, pembungkusan, dan pembayaran gaji 20 pekerja.

“Segalanya bermula apabila akademi berkenaan datang dengan usul menggunakan produk saya untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, atas dasar sokongan terhadap hasrat mereka saya telah bersetuju menyediakan 5,000 pek muruku setiap bulan.

“Saya mula sedar ada yang tidak kena sejak Jun tahun lepas, kerana mereka memberikan pelbagai alasan setiap kali saya bertanyakan mengenai bayaran dan melanggar perjanjian dengan hanya membayar sekitar RM3,000 secara berperingkat,” katanya kepada Bernama di Shah Alam.

Noraniza berkata, keadaan menjadi semakin rumit apabila beliau terpaksa memberhentikan 10 pekerjanya, kerana tidak mampu untuk menanggung kos pembayaran gaji ekoran kerugian dialami.

“Saya harap mereka yang terlibat dapat tampil memberikan jawapan, saya nekad buat laporan polis sekurang-kurangnya kami dapat hak kami semula serta membantu orang lain agar tidak terpedaya dengan akademi terbabit,” katanya.

Beliau turut meluahkan kekesalan berhubung kejadian itu kerana turut mengganggu emosi keluarganya yang telah bersama-sama berusaha membangunkan syarikat makanan ringan tersebut setahun lalu.

BBerkaitan

Latest articles