KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Jepun yang maut selepas terjatuh dari sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya, pada Jumaat lalu disahkan sebagai isteri kepada pempengaruh media sosial, Ridz Okumura atau nama sebenarnya, Abdul Ridzuan Abdul Mutalib.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan identiti mangsa dan memaklumkan bahawa kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Menurutnya, setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian tersebut.
“Walaupun tiada unsur jenayah ditemukan setakat ini, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dari semua sudut, termasuk kemungkinan tindakan sendiri atau elemen lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Dalam masa yang sama Hussein turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen tanpa asas mengenai kes ini.
Jumaat lalu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dalam kenyataan memaklumkan bahawa mangsa, yang berusia lingkungan 50-an, ditemukan dalam keadaan tertiarap di atas tanah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat kondominium tersebut.
Siasatan awal di lokasi kejadian dan pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemukan sebarang tanda unsur jenayah. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan.