KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan wanita warga Jepun yang ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya, merupakan isteri kepada usahawan dan pempengaruh media sosial, Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau lebih dikenali Ridzokumura.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada sidang medianya hari ini.
Menurut beliau, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Walaupun mati mengejut, siasatan kita sama, kita akan melihat sama ada wujud unsur jenayah, tindakan sendiri atau sebagainya.
“Jika dikesan ada unsur jenayah, baru kita klasifikasikan semula kes ini di bawah kesalahan jenayah,” katanya.
Pada masa sama, Hussein memberitahu, pihaknya sudah mengambil keterangan suami mangsa.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.
Terdahulu, Ridzuan menerusi Instagram memaklumkan isterinya sudah pergi selama-lamanya dan meninggalkan beliau serta anak lelakinya, Sky Taizo Okumura.
Jumaat lalu, media melaporkan seorang wanita warga Jepun maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16 Subang Jaya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan mangsa berusia 50-an ditemui meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di atas tanah.
Katanya, siasatan awal pada tubuh mangsa dan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah membabitkan insiden itu.