KUALA LUMPUR: Seorang pendandan rambut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mencederakan suaminya dalam satu kejadian pada 26 Februari lalu.
Tertuduh, Sharifah Nurul Ainnasama Syed Omar, 40, yang hadir ke mahkamah menggunakan tongkat akibat patah kaki kanan, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencederakan suaminya, Muhammad Danial Zafri Zairi, 31, menggunakan penyapu, alat pemberat, dan pisau di Taman Iringan Bayu, Seremban, kira-kira jam 5 pagi.
Kes didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, atau sebatan jika sabit kesalahan.
Ia turut dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman dua kali ganda daripada tempoh maksimum.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tertuduh tidak mengganggu saksi, melapor diri di balai polis, dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa mengalami kecederaan tisu lembut, selain luka dan lebam di belakang badan akibat kejadian tersebut.
Bagaimanapun, tertuduh merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan menanggung dua anak serta mendakwa dirinya terlebih dahulu dipukul dalam pergaduhan itu.
Mahkamah akhirnya membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat yang ditetapkan pihak pendakwaan. Kes akan disebut semula pada 14 April depan. – BERNAMA