KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan sebanyak 2.98 juta panggilan penipuan sepanjang tahun 2024, meningkat 82.81 peratus berbanding 1.63 juta panggilan pada tahun sebelumnya.
Menurut Laporan Tahunan Whoscall 2024, data tersebut dikumpulkan antara Januari hingga Disember 2024, melibatkan lapan negara termasuk Malaysia, Taiwan, Thailand, Brazil, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, dan Filipina.
Selain panggilan penipuan, mesej scam turut menunjukkan peningkatan sebanyak 19.97 peratus, dengan 5.29 juta mesej dikesan pada 2024 berbanding 4.41 juta pada tahun sebelumnya.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa Malaysia mencatat kadar kebocoran data peribadi tertinggi dalam kalangan negara yang dikaji, apabila 72.5 peratus pengguna yang menggunakan ciri keselamatan ID Whoscall mendapati maklumat mereka telah terdedah.
Aplikasi pengenalan pemanggil dan pencegahan penipuan itu turut melaporkan Taiwan berada di tempat kedua dengan kadar kebocoran 62.4 peratus, diikuti Jepun (56.7 peratus).
Menurut Pengarah Pembangunan Perniagaan Gogolook Malaysia, Voon Chang Liew, nombor telefon merupakan data peribadi yang paling banyak terdedah dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan kadar kebocoran mencecah 98 peratus.
“Malaysia juga mempunyai kadar kebocoran nama yang tinggi iaitu 89 peratus, diikuti alamat dan e-mel. Ini memberi kelebihan kepada scammer untuk menyamar sebagai institusi kewangan, agensi kerajaan atau syarikat penghantaran bagi memperdaya mangsa.
“Dengan maklumat peribadi yang bocor, mereka dapat melancarkan penipuan yang lebih menyasarkan individu tertentu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memaklumkan jumlah kerugian akibat penipuan meningkat kepada RM1.57 bilion pada 2024, berbanding RM1.22 bilion pada tahun sebelumnya.
“Scam berasaskan kecerdasan buatan (AI) seperti video deepfake yang memaparkan selebriti dan ahli politik semakin berleluasa. Ia digunakan untuk memperdaya mangsa menyertai pelaburan palsu atau serangan phishing.
“Warga emas sering menjadi sasaran kerana mereka mempunyai simpanan kewangan yang lebih besar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa bagi menangani jenayah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus bekerjasama dengan Whoscall untuk berkongsi senarai nombor telefon scam yang telah disahkan oleh pihak berkuasa.
“Seiring perkembangan teknologi, semakin sukar untuk membezakan antara yang palsu dan yang sebenar. Oleh itu, penggunaan aplikasi seperti Whoscall menjadi langkah penting dalam melindungi masyarakat daripada ancaman penipuan,” jelasnya.