Tiada Masalah Dengan Penganjuran Konsert, Tetapi Kawalan Keselamatan Perlu Dipertingkat

KUALA LUMPUR: Peningkatan golongan muda dalam pengambilan dadah sejak kebelakangan ini amat meresahkan.

Daripada perasaan suka-suka dan ingin mencuba, ramai yang terjebak dalam pengambilan dadah sehingga ada yang meragut nyawa.

Contoh terdekat yang boleh diambil adalah kematian tiga individu di Konsert Pinkfish Countdown 2024 yang disahkan akibat pengambilan dadah jenis perangsang, manakala satu lagi mangsa masih menunggu hasil laporan patologi.

Sekaligus situasi ini membangkitkan kebimbangan bagaimana sumber dadah ini boleh diperolehi, malah tahap keselamatan di pintu masuk ke acara konsert dan hiburan di tahap terendah sehingga ada yang berani menyeludup.

Siapa yang patut dipersalahkan? Adakah penganjur acara atau pihak yang memberi kelulusan atau pun pengunjung itu sendiri?

Menurut Nabila Shukri, 37, penganjur acara perlu sedar akan tanggungjawab besar yang perlu digalas apabila menganjurkan sesuatu acara, termasuk konsert hiburan.

“Pada pandangan saya, pihak penganjur patut bertanggungjawab kepada keseluruhan acara yang dilangsungkan, lebih-lebih lagi dalam soal keselamatan pengunjung.

“Contohnya dari awal proses pengunjung masuk ke tempat konsert lagi patut ada kawalan keselamatan yang ketat. Dengan jangkaan pengunjung yang ramai, bilangan pengawal keselamatan juga perlu ramai untuk memantau kejadian yang tidak diingini dari berlaku,” katanya kepada The Rakyat Insight.

Ditanya sama ada keperluan untuk sebarang acara hiburan dihentikan di negara ini atas faktor keselamatan dan sosial, Nabila bagaimanapun kurang bersetuju.

Ujarnya, sudah menjadi fitrah manusia untuk berhibur demi kesejahteraan hidup mereka.

“Ia boleh diteruskan, tetapi perlu ada syarat ketat yang dikenakan daripada pihak yang meluluskan acara kepada penganjur acara dan pengunjung itu sendiri,” tegasnya.

Di kala ada yang melihat sisi buruk sesuatu penganjuran acara hiburan itu, tidak dinafikan sedikit sebanyak ia menyumbang kesan positif kepada ekonomi.

Sebagai contoh, peminat sanggup melabur duit membeli harga tiket konsert sehingga ratusan Ringgit Malaysia semata-mata mahu berhibur dengan artis antarabangsa yang menjadi idola mereka.

Malah peluang perniagaan juga terbuka luas buat mereka yang berniaga makanan dan minuman serta merchandise yang membabitkan artis itu sendiri seperti pakaian dan aksesori.

“Walaupun harga makanan mungkin mencecah dua kali ganda berbanding di premis luar, namun pengunjung konsert tetap sanggup membeli kerana tiada pilihan.

“Kita faham dari segi ekonomi acara sebegini boleh menjana pendapatan. Tetapi, perhatian utama perlu diberi kepada tahap keselamatan pengunjung supaya tiada yang membawa masuk bahan terlarang, selain penganjur itu sendiri bertanggungjawab dari awal hingga akhir acara,” demikian menurut Afika Azhar.

Namun, dalam masa yang sama, ibu dua anak itu membangkitkan isu sosial yang mungkin berlaku sepanjang tempoh acara hiburan diadakan.

“Dengan keadaan yang terhad dan sempit, pengunjung tanpa mengira lelaki dan perempuan saling bergaul bebas dan melayan muzik yang kuat dan bingit, sudah pasti ada kesan buruknya kepada masyarakat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles