KUALA LUMPUR: Bangunan Sultan Abdul Samad akan menjadi antara 10 kawasan di Kuala Lumpur yang dicadangkan kerajaan sebagai Tapak Warisan Dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha sedemikian bertujuan memelihara khazanah dan kepentingan orang Melayu di bandaraya itu.
Bangunan Sultan Abdul Samad, menurut Anwar perlu dikekalkan atas simbol kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Pagi tadi (semalam) kita minta Khazanah dan Bandaraya menerangkan 10 kawasan termasuk Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, Keretapi Tanah Melayu (KTM) sampai ke Kwasa untuk jadikan seluruhnya Warisan Kuala Lumpur.
“Saya persembah Sultan Selangor, Bangunan Sultan Abdul Samad untuk dikekalkan sebagai Bandar Warisan Kesultanan Melayu yang agung suatu ketika dahulu,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Wanita, AMK dan Cabang Keadilan Selangor, malam tadi.
Dalam masa yang sama menjaga kepentingan kaum Melayu, Presiden Parti PKR itu berkata, kerajaan tidak sesekali meminggirkan kaum lain di negara ini.
“Sebagai satu negara pelbagai kaum, kita akan pastikan ada kawasan-kawasan di mana dikembangkan, ditunjukkan penyertaan budaya Cina, India, Iban, Kadazan semua di situ,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan mungkin akan memperuntukan dana berjumlah RM1 bilion untuk memelihara Tapak Warisan Dunia di Kuala Lumpur.
“Kita kena ingat pertama kali dalam sejarah sepanjang tahun bermula dengan RM1 bilion awal duit Khazanah dikekalkan satu Warisan Kuala Lumpur atau Taman Warisan Terbesar,” katanya lagi.