KUALA LUMPUR: Enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang sebelum ini dijatuhi hukuman gantung kerana membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengembalikan hukuman penjara 18 tahun.
Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil. Mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini menjatuhkan hukuman gantung dan sebaliknya mengembalikan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam penghakimannya, Hakim Hasnah meneliti keterangan saksi pendakwaan keenam (SP6), Dr. Salmah Arshad, yang sebelum ini menyatakan kecederaan Zulfarhan boleh menyebabkan kematian. Namun, ketika disoal balas oleh peguam, saksi mengakui bahawa luka bakar yang dialami mangsa tidak semestinya membawa maut sekiranya diberikan rawatan secukupnya.
“Keterangan SP6 tidak dipatahkan oleh pihak pendakwaan dalam sesi pemeriksaan semula. Oleh itu, mahkamah berpandangan bahawa elemen kecederaan yang lazimnya menyebabkan kematian tidak dibuktikan melampaui keraguan munasabah,” kata Hakim Hasnah.
Panel hakim turut mengambil kira keterangan saksi pembelaan ke-19 (SD19), Dr. Rohayu Shahar Adnan, yang mempertikaikan dapatan SP6. Tambahan pula, Zulfarhan meninggal dunia selepas 10 hari kejadian, yang turut menjadi faktor dalam keputusan mahkamah.
Hukuman Kekal di Bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan
Dengan keputusan itu, mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kesalahan bunuh mengikut Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan, sekali gus tidak dapat mengekalkan sabitan bunuh dan persubahatan membunuh terhadap seorang tertuduh, Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Sebaliknya, panel hakim berpuas hati bahawa bukti yang dikemukakan mencukupi untuk menyokong sabitan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Enam bekas pelajar UPNM yang berusia 29 tahun itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Mereka sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 2 November 2021 selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 304(a) kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuh.
Namun, pada 23 Julai 2024, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan silang pendakwaan dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kejadian tragis ini berlaku pada 22 Mei 2017 di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM, antara jam 4.45 pagi hingga 5.45 pagi.