SPRM Akan Panggil 8 Individu Bantu Siasatan Kes Rasuah Melibatkan Pegawai Kanan Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lapan individu untuk membantu siasatan berhubung penahanan empat pegawai kanan yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, bagaimanapun enggan mendedahkan identiti lapan individu tersebut.

Beliau memaklumkan bahawa mereka akan dipanggil dalam tempoh minggu ini dan minggu depan.

“Siasatan sedang berjalan dan kita akan memanggil lapan saksi dalam waktu terdekat,” kata Azam Baki kepada Berita Harian.

Ditanya mengenai kemungkinan Ismail Sabri dipanggil untuk memberi keterangan, Azam menjelaskan bahawa SPRM akan memanggil sesiapa sahaja yang dapat membantu siasatan.

“SPRM akan memanggil individu yang relevan untuk memberikan keterangan. Siasatan masih dijalankan dan saya tidak dapat mengesahkan bila ia akan selesai,” tambahnya.

Azam turut memaklumkan bahawa Bahagian Pencegahan Wang Haram sedang meneliti dokumen yang dirampas berkaitan kes ini.

Selain mengikut Akta SPRM 2009, siasatan ini juga dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada Sabtu lalu, SPRM dilaporkan menahan empat bekas pegawai kanan yang disyaki terbabit dalam aktiviti rasuah berkaitan Ismail Sabri.

Tiga daripadanya, termasuk individu yang bergelar Datuk, telah dibebaskan selepas tempoh reman tiga hari berakhir pada hari Jumaat, sementara seorang lagi dibebaskan pada Ahad lalu.

SPRM turut dilaporkan menyita lebih RM100 juta dalam bentuk wang tunai yang disyaki mempunyai kaitan dengan dana politik, selepas serbuan ke atas rumah salah seorang bekas pegawai kanan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles