KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa nama tokoh syarikat besar milik orang Melayu telah menyatakan komitmen untuk menyumbang kepada Wakaf Madani.
Namun pada ketika ini perincian sedang dilakukan sebelum nama tokoh berkenaan diumumkan.
“Saya ucap terima kasih kerana beberapa tokoh syarikat besar melayu bersetuju supaya mendukung kekuatan ekonomi wakaf madani, boleh kita umumkan.
“Sekarang memperincikan beberapa peraturan dan syarat yang mereka mahu masukkan dalam peraturan dan badan wakaf ini.
“Kemudian saya akan pastikan ada rundingan dengan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) supaya penyelarasannya dilakukan dengan baik,” kata Anwar dalam ucapan pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan, hari ini.
Dalam pada itu Anwar turut mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi program biasiswa wakaf pendidikan tinggi MyWaqaf PTPTN yang dikendalikan secara bersama antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan Yayasan Waqaf Malaysia.
Selain itu RM5 juta turut diperuntukan sebagai modal awal pembentukan entiti Permodanan Wakaf Nasional Berhad.
Anwar berkata, sumbangan wakaf bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan sebaliknya tradisi itu harus menjadi amalan oleh semua pihak termasuk rakyat dan pemilik syarikat.
“Bukan sekadar menyakau harta, harta yang kamu ada itu harus mampu mewakafkan. Kita kadang-kala mempunyai kuasa dan bila saya tegaskan hal ini bangkitlah dendamlah, mencari salah oranglah.
“Pada hal kalau benar kita ini mahu pertahankan prinsip dan roh Islam mana mungkin kita pertahankan keterlanjuran ini. Pekerja mengharapkan hanya RM100 ke RM200 tambahan dalam skim gaji, elaun setahun mana mungkin kita membiarkan orang menyakau berbilion.
“Pada hal untuk orang miskin di bawah kita minta wakaf. Sebab itu bagi saya tatakelola dan tadbir urus itu sangat penting,” katanya.
Serentak itu Anwar meminta supaya Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji dan Yayasam Wakaf Malaysia menjadi contoh pentabiran yang cekap dan bersih bagi menetapi roh Islam.
Sementara itu, Anwar memberi contoh kejayaan Indonesia membangunkan institusi pendidikan dan madrasah yang menggunakan sumbangan harta wakaf ketika negara itu baru mencapai kejayaan dan rata-rata penduduk adalah miskin.
“Pengajaran kepada kita tanpa dukungan rasmi kesedaran wakaf dalam kalangan rakyat Indonesia yang umumnya miskin dalam tahun 50-an dan 60-an tetapi masih melahirkan instititusi pendidikan dan pasantren yang gagah.
“Kedudukan ekonomi umat itu bukan petanda keupayaan kerana yang harus ditekankan ialah tahap kesedaran dan sikap serta semangat untuk memberikan, bukan sahaja untuk mengaut kekayaan tetapi juga memberi sumbangan yang kekal dalam ekonomi dan pendidikan,” kata Anwar.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pembentukan Wakaf Madani dengan aset bernilai RM1 bilion.
Aset terdiri daripada tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan serta pendidikan itu akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.