(sumber gambar: Sinar Harian)
KUALA LUMPUR: Lelaki kurang upaya (OKU) yang melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan di Kampung Sungai Masin, Batang Kali, Selangor pada Jumaat lalu, mengaku salah hari ini.
Tertuduh, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin di Mahkamah Seysen Ampang, hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Adam didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun bagi maksud seksual di sebuah masjid di Kampung Sungai Masin, Batang Kali dalam daerah Hulu Selangor kira-kira jam 6.20 pagi pada Jumaat lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan.
Dalam kejadian Jumaat lalu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak yang sedang sujud dari arah belakang ketika jemaah lain sedang menunaikan solat Subuh.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda berusia antara 18 sehingga 21 tahun.
Susulan itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 ke atas tertuduh dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta tidak mengacau ganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Sementara itu, tertuduh yang memakai baju berwarna putih di dalam kandang tidak dibenarkan ikat jamin kerana tiada ahli keluarga yang hadir dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 Mac depan untuk laporan sosial daripada JKM.